Soalan :
Setiap amalan dan ibadat rasanya ada hikmat dan fadilat. Agaknya, apakah hikmat puasa?
Jawapan:
1. Hikmat puasa yang paling besar agaknya ialah mendidik jiwa dan nafsu agar dapat mencapai makam takwa. Takwa adalah sifat yang terpuji. Dengan takwa, ia mampu mencegah diri daripada melakukan dosa dan maksiat. Seperti firman Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud,
“Wahai orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu puasa (ramadhan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, semoga kamu bertakwa”
2. Puasa juga menjadi benteng dan perisai bagi seseorang muslim. Perisai kerana puasa dapat melemahkan nafsu yang sebenarnya lebih banyak merosakkan. Oleh itu, ia perlu dididik agar menjadi nafsu yang baik dan juga menjadi benteng daripada api neraka.
Nabi s.a.w bersabda
“Puasa itu adalah perisai” (Riwayat Bukhari)
3. Puasa ini juga akan melembutkan hati seseorang ketika melihat penderitaan orang lain. Masih ramai lagi orang yang kelaparan di atas muka bumi ini, contohnya seperti di Somalia. Mereka tidak mendapat makanan yang secukupnya, malah ramai dari mereka yang mati akibat kebuluran. Jadi, dengan berpuasa ini, kita dapat merasai derita insan yang lapar dan dahaga itu.
4. Puasa ini juga akan mendidik umat islam untuk bersikap amanah. Amanah kepada Allah dan juga kepada diri sendiri. Mana ada orang yang tahu yang kita puasa sepenuhnya atau tidak kan? Kalau tidak amanah, sambil menyelam boleh minum air. Contoh, pulang je dari sekolah, terus ke bilik air untuk mandi. Sambil tu, bolehla ‘telan’ beberapa liter air ‘pepsi’ (paip besi) Bukan ada orang yang tau pun, betul tak? Tapi, Allah sentiasa tahu dan Dia Maha Mengetahui.
5. Puasa juga akan menajamkan akal. Cuba ambil buku pelajaran dan baca selepas makan tengahari atau makan malam. Secara automatik mata akan jadi berat dan asyik menguap je sebab otak tidak boleh menerima apa yang dibaca. Tetapi, berbeza bila kita berpuasa, otak dapat bekerja dengan senang dan apa yang di baca, InsyaAllah dapat difahami dengan mudah.
Disebutkan antara kata-kata hikmat Luqman al-Hakim ialah :
“Apabila perut penuh dengan makanan maka fikiran akan tidur, kebijaksanaan akan diam dan anggota badan menjadi malas”
Kelebihan Puasa dari sudut sains.
Puasa Ramadhan juga merupakan satu proses yang memberi manfaat kepada kesihatan tubuh badan manusia.
Dalam bulan ini, kita berpeluang merehatkan organ penghadaman yang telah bekerja keras sepanjang tahun. Bukan sahaja merehatkan, kita juga memberi peluang kepada organ tersebut membersihkan “dirinya” dengan syarat, kita mengamalkan pemakanan yang betul sepanjang bulan puasa ini.
Berpuasa juga akan memberikan peluang kepada tubuh badan kita untuk membuang lebihan toksin yang terkumpul di dalam badan. Pada peringkat awal berpuasa, kita sedari bahawa mulut akan berbau, peluh berbau, kulit kering bersisik, gatal-gatal pada kulit, air kencing pekat dan berbau, lidah kelat dan sebagainya. Ini semua adalah tanda-tanda atau petanda bahawa tubuh sedang membersihkan toksin dalam badan.
Berpuasa juga boleh meningkatkan kekuatan fizikal dan mental umat islam. Selalunya pada bulan inilah kita merasakan kekuatan dalam diri kita diuji dengan pelbagai bentuk ujian. Bagi mereka yang bekerja dengan menggunakan kekuatan fizikal, bulan Ramadhan pasti menguji ketahanan diri. Bagi mereka yang mudah lemah semangat, kelebihan bulan Ramadhan ini perlulah digunakan untuk membina kekuatan diri.
0 comments:
Post a Comment