Showing posts with label cerita. Show all posts
Showing posts with label cerita. Show all posts

Tuesday, September 18, 2012

Nilai murni rakyat Malaysia

Situasi 1 (Dalam sebuah bank di selatan tanah air)

Seorang makcik tua berketurunan cina dan anaknya yang juga seorang yang gagap tengah memasukkan wang di mesin cash deposit.. Tiba-tiba, duit yang mereka gunakan tidak dapat dimasukkan..

Makcik : kenapa tak boleh masuk?
Pegawai bank : mesin ni tak terima duit rm5 laa aunty..
Anak makcik : tak tak tak boleh masuk? (makluman : dia gagap huhu)
Makcik : haiya..macam mana ini..

Lantas mereka berpusing pada seorang lelaki india muda di belakang mereka..

Anak makcik : a..a..ada duit tukar tak..du..dua puluh linggit..
Makcik : tolong ya..ada duit tukar tak..tolong ya..tolong..

Lelaki muda india tu terus mengeluarkan dompetnya, dan mencari duit tukar..Terus lelaki india muda itu memberikan duit merah mengikut jumlah tersebut..

Makcik : terima kasih ya..terima kasih (dengan muka yang sangat bersyukur)
Anak makcik : te..terima kasih (sambil mengangguk tanda terima kasih)
Lelaki india muda : (tersenyum)

Alhamdulillah..masih ada insan yang sangat bermurah hati menolong insan yang dalam kesusahan.. jelas, mereka berbeza bangsa dan mungkin juga agama.. Namun, anak muda itu tetap membantu.. Kagum saya kerana masih ada anak muda di zaman ini yang mahu menolong insan yang dalam kesusahan.. Teruskan sikapmu itu.. :)

sungguh, rasa nak menangis terharu tengok kejadian tu tadi~


Situasi 2 (berhadapan sebuah bank di selatan tanah air)

tiba-tiba ternampak sebuah kereta vios yang mungkin baru dibeli berhenti mengejut.. Lalu keluar seorang lelaki melayu, dalam lingkungan 2+.. Lelaki itu melihat depan dan belakang keretanya..

Lelaki muda : apa laa pakcik ni..jalan tak tengok ke! berjalan tengah jalan (pastu tak dengar yang hujung)
Pakcik tua : (terpinga-pinga sebab tak tahu apa yang dia dah buat)
Lelaki muda : mabuk ke apa! berjalan tak tengok kiri kanan! (sambil melihat bahagian depan dan belakang kereta)
Pakcik tua : (masih terpinga-pinga)

Lalu saya terus berlalu meninggalkan tempat kejadian..tak sanggup nak tengok pakcik tu kena lagi..
Kejam betul lelaki muda tu..kalau betul pun pakcik tu melintas jalan tak tengok kiri kanan, tak perlu la dia cakap "Mabuk" kat pakcik tu.. wahai anak muda melayu, di mana adab pada orang yang lebih tua..

macam mana dia layan orang lain, begitu jugalah dia layan ahli keluarganya..betul tak? ~


p/s : kita orang asia, orang yang penuh adab dan sopan..kekalkanlah adab sopan dan nilai-nilai murni dalam diri kita..tak rugi pun..



Terima kasih sudi singgah di sini =)


Sunday, August 26, 2012

Comeback Entri :)

Dengan Lafaz Bismillahirrahmanirrahim Ku Mulakan bicara

Alhamdulillah..setelah sekian lama tak sempay meng'update' blog ini, sekarang diberi sedikit masa terluang untuk meng'clear'kan habuk-habuk dari blog ni ^__^

Sekarang, title saya telah berubah daripada seorang penganggur terhormat kepada seorang guru Bahasa Inggeris di SMK Dato Penggawa Timur, Masai.. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan penuh Rahmat dan Kasih SayangNya telah menganugerahkan tugas sebagai seorang guru kepada saya.. Sungguh, tugas guru ini bukan mudah lebih-lebih lagi nak mendidik anak-anak murid yang terlebih maju dan canggih dalam zaman IT ni.. Terkadang, terbit perasaan takut dan gerun untuk mendidik mereka.. namun saya yakin, ketentuanNya adalah yang terbaik..

Saya akan lakukan sehabis baik demi menyampaikan ilmu Allah ini kepada anak-anak didik saya yang tercinta.. Memang mereka nakal, memang mereka bising di dalam kelas, memamng mereka kerap tidak menyiapkan tugasan yang diberikan kepada mereka.. Namun, sudah menjadi tugasa saya sebagai guru @ teacher mereka untuk terus mendidik dan mengajar mereka agar menjadi insan dan hamba Allah yang cemerlang kan? Sungguh, saya ada Allah yang sentiasa bersama saya..

p/s :  Mendidik anak bangsa supaya menjadi menjadi insan yang cemerlang pun dikira sebagai jihad kan? Insha Allah, jihad fi sabilillah~

Terima kasih sudi singgah di sini =)

Thursday, February 9, 2012

kisah seorang datuk tua

Dengan Lafaz Bismillahirrahmanirrahim kumulakan bicara..

kadang2, saya pernah mempersoalkan, kenapa dunia ini begitu kejam.. yang kaya makin kaya, mewah dengan serba serbi kelengkapan hidup malah ada yang memiliki kekayaan yang melimpah ruah.. namun yang miskin pula, makin miskin, makin payah hidupnya, malah ada yang terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.. itu belum lagi dikira mereka yang hidup atas simpati orang sekeliling untuk membantu di saat kesusahan..termasuk juga golongan emas, yang tinggal berseorangan tanpa ada anak cucu di rumah..semuanya diuruskan dengan dua tangan mereka sendiri dengan kudrat yang tidak seberapa itu.. kalau apa2 terjadi kepada mereka, pada siapalah si tua itu nak mohon bantuan.. Ya Allah, sungguh, hati ini rasa ditoreh-toreh melihat keadaan sekarang.. Tak tau kenapa, sejak dua menjak ni, hati ini begitu cepat terusik apabila melihat golongan emas.. lebih-lebih lagi mereka yang tinggal keseorangan.. risau.. dan takut..

Ada satu kisah seorang datuk yang sudah lanjut umurnya, malah boleh dikatakan dia sudah di hujung usia.. Dari raut wajahnya, sudah nampak benar yang dia sudah sangat uzur dan tidak berapa berdaya untuk menguruskan kehidupan.. Dia tinggal seorang diri setelah hampir setahun dia bercerai dengan isteri.. Anehkan bila si isteri meminta untuk diceraikan sedangkan sepatutnya dah hujung2 usia ni, cukup2lah nak bercerai berai ni kan.. tapi nak buat macam mana, bila si isteri tu mata duitan, sanggup minta si suami ceraikan dia sebab si suami ni miskin, dah tua, dah tak larat nak buat kerja.. bukan setakat minta diceraikan, malah dia membawa semua barang2 di dalam rumah tu bersama dengan alasan, itu barang yang dia beli, sedangkan barang2 tu duit dari duit zakat yg diterima si suami setiap bulan.. kemudian, bila dah bercerai, si perempuan tu duk bawak cerita, pergi jaja cerita seluruh kampong yg dia diceraikan, dan buat macam dia tak bersalah.. buat cerita macam2.. how can I say a person like this? Kejam!! make sense tak seorang isteri sanggup buat macam tu? Itulah, bila nafsu, harta dunia dijadikan ukuran..itulah yang terjadi.. owh ya, isteri tu merupakan isteri yang ke-3 selepas isteri2 datuk tersebut meninggal..dan datuk tu tak mempunyai anak dengan isteri yang baru bercerai tu..

Kemudian, selepas tinggal sendiri, ada anak2 datuk tersebut ajak dia tinggal sekali bersama mereka namun ditolaknya.. baginya, biarlah dia tinggal di rumah tersebut, mudah katanya nak pergi ke surau dan ceramah2 di surau..jadi, anak2nya terpaksalah akur dengan keputusan si ayah.. apabila cuti, adalah anak2 pulang menjenguk si ayah..namun, selebihnya, datuk tersebut tinggal sendiri, uruskan semuanya sendiri dengan sisa2 kudrat yang masih ada.. nasib baiklah dia tinggal dekat dengan anak2 saudara, yang ada menjenguk, menghantar makanan dan menjaga ketika sakit peningnya.. saya melihat sendiri, setiap pagi, datuk tersebut akan ke surau, kemudian ke kedai makan untuk bersarapan dengan mengayuh basikal.. kemudian, selepas sarapan, dia pulang ke rumah dan melakukan sedikit kerja rumah sekadar yang boleh, macam sidai baju ataupun menyapu rumah.. selepas tu, kalau tidak menonton television, dia akan duduk di beranda rumahnya, sama ada tidur ataupun termenung kosong.. Kemudian, ke surau lagi, dan balik ke rumah lagi.. Sebelah malamnya, duduk di dalam rumah sampai ke pagi esoknya.. rutin yang sama berlaku setiap hari! Setiap hari! Ya Allah, sungguh sayu saya melihatnya, dapat saya rasakan betapa sunyinya hidup datuk tersebut..

Pernah satu ketika, air perigi di rumah datuk itu tercemar, entah perbuatan khianat siapa yang meletak bahan di dalam telaga yang membuatkan air di rumahnya tidak boleh digunakan.. kalau mandi pun, terasa gatal2 di kulit.. Si datuk tersebut terpaksa mandi di rumah anak saudaranya.. bayangkan, dengan kudrat orang tua yang berumur 80+, kena mandi kat tempat lain sebab perbuatan khianat orang lain.. Allahuakbar! Sungguh kejam manusia itu! Tergamak melakukan perkara sebegitu kepada si tua yang tak berdaya tu! Semoga Allah memberi keadilan yang seadil-adilnya kepada pembuat khianat itu.. Alhamdulillah, sekarang dah boleh guna balik dah air telaga tu.. Sekarang ni, nasib datuk tu masih sama, masih melakukan rutin yang sama.. Rumah yang datuk itu tinggal pun sudah uzur.. Kalau dulu cat putihnya masih ada, yang tinggal kini cuma dinding kayu usang.. Kalau dulu atap zink masih kukuh, kini atap itu sudah berlubang dan berkarat.. Malah, lantai rumah bila berjalan di atasnya, berbunyi ‘kriuk,kriuk,kriuk’. Peralatan dalam rumah pula yang ada, television, kerusi kayu lama, almari baju lama, katil lama yang usang dan berhabuk dan dapur tua yang uzur..

Bukannya tiada orang yang mengambil berat akan keadaan datuk itu, ada sahaja anak2 saudara datang menjenguk.. malah, selalu je orang datang melawat, kadang2 bawak makanan untuk dia.. Masa tu, memang terpancar riak gembira dari wajah si tua itu.. Cuma, apabila dia berseorangan, wajahnya sangat sedih.. Saya pernah melihat si tua itu terbongkok bongkok memungut kelapa tua untuk di jual.. dengan langkah yang perlahan diatur satu persatu, beralaskan selipar jepun yang lusuh, berkain pelikat lusuh, dia mengumpul kelapa tua di satu tempat.. Kemudian menutupnya dengan zink buruk dengan harapan tiada orang yang akan mencuri kelapa2 tersebut..

Saya tau dia kesunyian jadi dia buat kerja tu untuk tambah pendapatan sikit.. Lagipun, duit zakat yang diberikan, cukup2 untuk bayar bil air, api, telefon dan juga makan sikit setiap bulan.. Saya juga tau yang datuk tersebut tak mahu menyusahkan anak2 cucu dia.. Tapi, apabila melihat dia melakukan semua kerjanya sendiri, dengan kudrat yang tak seberapa tu, saya sedih, saya menangis sebab dia melalui semua tu seorang diri! Tanpa ada sesiapa di samping dia.. Menitis air mata saya bila melihat datuk itu duduk di beranda rumahnya, memerhati orang yang lalu lalang dengan pandangan kosong.. Entah apa la yang difikirkannya.. Mungkin dia memikirkan betapa sunyinya dia, keseorangan di rumah, mungkin juga dia melepaskan penat selepas mengayuh basikal ke surau, dan mungkin juga dia sedih kerana rasa umurnya sudah di penghujung.. Ringan sahaja mulut untuk bertanya, untuk menyelami hati si tua itu.. Namun, saya pendamkan sahaja niat itu kerana saya tak berdaya untuk bertanya.. Kerana setiap kali saya melihat wajah datuk itu, saya rasa sebak sendiri..

Dan jauh di dasar hati, saya selalu berdoa, semoga Allah kuatkan langkah dan kudrat atuk itu untuk terus menjalani hidupnya.. Dan semoga kesunyian datuk itu akan terubat satu masa nanti.. Kerana saya yakin! Janji Allah itu pasti! Dan Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambanNya.. Mungkin datuk itu susah sekarang, tapi mana tahu dengan izin Allah, dia akan lebih bahagia nanti.. Semua itu kerja Allah kan, kita tak tau..





Terima kasih sudi singgah di sini =)

Thursday, February 2, 2012

Dia Abu Ubaidah, Penakluk Parsi

Dengan Lafaz Bismillahirrahmanirrahim kumulakan bicara..

Abu Ubaidah bin al-Jarrah atau nama sebenarnya Amir bin Abdullah bin al-Jarrah bin Hilal al-Fihri al-Quraisy. Beliau lahir pada 582 masihi di Mekah, dan meninggal dunia semasa berumur 58 tahun akibat wabak taun pada 640 masihi bersamaan 18 hijrah. Mayatnya dikebumikan di Baisan, Syam. Beliau seorang yang lembut, tawaduk dan sangat pemalu tetapi apabila mengendalikan setiap urusan yang diamanahkan kepadanya, beliau amat cekap dan pantas. Beliau banyak mengikuti peperangan membela panji-panji Islam. Bahkan, menjadi panglima perang yang sangat prihatin terhadap keselamatan tenteranya.


Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda, “Tiga orang yang paling terkemuka dalam suku Quraisy dan memiliki sifat terbaik dan paling sederhana. Mereka adalah Abu Bakar, Uthman dan Abu Ubaidah al-Jarrah.”

Abu Ubaidah dikenali di zamanya sebagai seorang yang zuhud. Hidup baginya adalah pilihan. Ia memilih zuhud dengan kekuasaan dan harta yang ada di dalam genggamannya. Baginya, jawatan bukan jalan untuk memperkaya diri tetapi kesempatan untuk beramal bagi meraih syurga.

Pernah satu ketika, umat Islam tidak yakin untuk mengalahkan tentera Rom yang ramai dan mempunyai pertahanan yang kuat. Abu Ubaidah tampil memberikan ucapannya.

“Adakah saudara-saudara sudah lupa? Semasa perang Badar, bilangan tentera muslimin hanya tiga ratus tiga belas orang berbanding pihak musuh seramai dua ribu orang. Tetapi itu tidak mematahkan semangat orang kita berjuang. Dengan izin Allah, kita berjaya mengalahkan mereka”

“Tapi kita kalah semasa Perang Uhud!” kata suatu suara.

“Manusia mudah lupa. Apabila manusia berhadapan dengan kebendaan dunia, mereka lalai walaupun pada masa itu mereka berhadapan dengan musuh. Semua itu adalah ujian daripada Allah bagi melihat sejauh mana keimanan dan kesetiaan kita kepada-Nya.” Abu Ubaidah berhenti seketika.

Kemudian, beliau menyambung, “Adakah bala tentera Rom itu Tuhan maka kamu semua takut? Apa yang dapat apabila takut kepada mereka? Sedangkan Allah sudah menjanjikan syurga kepada mereka yang mati syahid di medan perang. Pada masa ini, musuh-musuh Islam sedang mentertawakan kita. Sikap pengecut kita yang memudahkan umat islam ditawan. Siapa sepatutnya dipersalahkan apabila kita tewas? Jawapannya adalah kita. Apabila kita bersatu hati mempertaruhkan nyawa demi menegakkan syiar islam, Tuhan membantu kita. Sekiranya kita kalah bukan bermakna Tuhan tidak membantu tetapi Dia mahu melihat sejauh mana keimanan kita kepada-Nya”

Kata Muaz bin Jabal, “Wahai sekalian manusia, kita semua sudah kehilangan dia (Abu Ubaidah al-Jarrah). Demi Allah, saya tidak pernah melihat orang yang lebih lapang dadanya selain dia. Saya tidak Nampak orang yang lebih jauh dari kepalsuan dan kepura-puraan selain dia. Saya tidak tahu sekiranya ada orang lain yang lebih menyukai kehidupan akhirat selain dia dan saya tidak tahu sekiranya ada orang lain yang suka memberi nasihat kepada orang ramai selain dia. Oleh itu, marilah kita memohon rahmat untuknya semoga Alla melimpahkan rahmatnya kepada kita pula.”

Abu Ubaidah adalah antara sahabat Rasulullah yang terawal masuk islam dan diantara 10 orang sahabat baginda Rasulullah yang dijamin masuk syurga.

Sumber : Buku "Abu Ubaidah Penakluk Parsi, Abdul Latip Talib"

Mari sahabat-sahabat semua, tak rugi baca buku ni! Sungguh, saya amat mengagumi kehebatan sahabat-sahabat nabi ketika berjuang mempertahankan islam. Bukan ganjaran dunia yang mereka inginkan, tetapi syahid di jalan Allah menjadi impian dan syurga Allah yang di cari. Sungguh, mereka sangat hebat untuk mempertahankan agama Allah dan meluaskannnya di seluruh bumi Allah ini.. Matlamat mereka, biar syahid ataupun kemenangan ! Lillahi ta’ala!




Terima kasih sudi singgah di sini =)

Thursday, January 12, 2012

Masyarakat zaman sekarang

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim ku mulakan bicara..


Orang yang memandang remeh kesalahan diri sendiri akan membesar-besarkan kesalahan orang lain.


Sejak dua menjak ni, bermacam-macam isu yang dibangkitkan oleh parti-parti politik kat Malaysia ni, baik di TV mahupun di surat khabar. bagi penyokong-penyokong parti, tak salah untuk menyokong mana-mana parti politik. Itu adalah hak individu dan orang lain tak boleh nak paksa-paksa, tambahan pula kita hidup di negara demokrasi. Rakyat bebas untuk membuat pilihan masing-masing. Sekarang pun, bukan macam dulu-dulu lagi dah, masing-masing dah berpendidikan tinggi, kerja pun bukan calang-calang, silap-silap mahu gaji tak habis setahun belanja.

Cuma, apa yang sangat dikesalkan, orang-orang yang berpolitik di tanah air yang saya sayangi dan cintai ini terlalu taksub dengan parti politik masing-masing. Mungkin terlalu taksub sampai ikut je membuta tuli apa yang dikatakan tanpa mengkaji dulu kesahihan sesuatu cerita. Terlalu taksub sampai sanggup menggunakan bahasa yang tak sepatutnya kepada parti politik yang berlawanan. Apa yang menyedihkan lagi, orang yang berperang mulut tu adalah orang melayu, islam lagi, tapi mengapa berbalah, berperang mulut sesama islam? Di manakah adab dan budi pekerti kita sebagai orang melayu? Mana sifat kita sebagai orang islam? Kecewa bila tengok macam tu, berbalah, berperang mulut dan saling mengata antara satu sama lain sedangkan orang yang kita duk mengata tu, kaum sebangsa seagama kita juga. Seolah-olah sama macam kita mengata diri sendiri juga. tak ke? Memang fahaman parti politik itu berbeza, tapi tak perlu la sampai kena jatuhkan pihak lain bagi membuktikan pihak yang lagi satu betul. Kan boleh berbincang, berdiplomasi secara betul. Nabi S.A.W pun mengajar kita supaya bermesyuarat, berbincang dan bertolak ansur. 

Cuba kita tengok balik sejarah Tanah Melayu semasa menentang penjajah, masa zaman Mat Kilau, Tok Janggut, Dato Bahaman dan ramai lagilah pejuang Tanah Melayu. Pejuang-pejuang ni tak berjuang seorang diri tapi bersatu dengan orang melayu yang lain, malah sanggup mengorbankan nyawa bagi mempertahankan negara daripada penjajah. Lepas tu, semasa menuntu kemerdekaan daripada pihak British, orang melayu semua bersatu kan untuk merdeka? Malah, kaum lain pun  turut sama berjuang untuk merdeka. Tiada beza antara bangsa, warna kulit, kedudukan dan juga agama. Tapi sekarang macam mana? Tepuk dada tanya iman kita. 


Tak salah untuk berpolitik dan menyuarakan pendapat masing-masing, tapi janganlah terlalu taksub, sampai apa yang betul, apa yang salah dah tak nampak lagi dah.. Politik tetap politik tapi jangan sampai kita membelakangkan agama Allah. Jangan sampai kita lupa DIA yang lebih berkuasa. Kita dikurniakan akal, gunakan ia sebaik mungkin. kita juga kenalah berfikiran terbuka, sebab tak semua berfikiran sama macam kita. Apa yang penting, jangan takut untuk bertolak ansur dan kurangkan EGO. Tak salah nak beri pendapat atau luahkan perasaan tak puas hati tapi biarlah dengan bahasa yang betul. Kita orang islam dan orang melayu, ada budi bahasanya. Lagi satu, tak rugi kalau kita bercakap elok-elok, bertolak ansur antara satu sama lain, menghormati oraang lain dan berbudi bahasa. Orang sekeliling akan lebih kagum dengan kita sebab dari situ menunjukkan yang kita ni bangsa yang berpelajaran, berpendidikan dan beragama. 

Berpolitik itu tidak salah asalkan kita tidak lupa asas yang paling penting iaitu Iman dan Islam. Berpolitik itu tidak salah selagi kita berpegang pada paksi yang paling utama iaitu Al-Quran dan As-sunnah. Kita kena kembali kepada Allah dan kembali mengenali DIA yang Maha Pencipta. Apabila kita kembali kepada Allah, Allah akan tolong kita. Bila kita kenal Allah, kita akan kenal siapa diri kita yang sebenar. 

Saya di sini tak berpihak kepada mana-mana pihak, masing-masing ada pendirian masing-masing. Cuma, mari sama-sama kita berfikir, betulkan mana yang silap. TEPUK DADA TANYA IMAN! 




Terima kasih sudi singgah di sini =)


Friday, October 14, 2011

Riak vs Ujub

~Gambar dari facebook~
Riak - riak ikan dia air. Benda yang biasalah kita dengar setiap hari kan.. Apa maksud riak ni sebenarnya?

Maksud riak biasanya dikaitkan dengan perbuatan menunjuk-nunjuk  di depan orang. Biasa yang kita dengar, atau kita sendiri yang cakap benda macam ni:

“Aku bukan nak riak..”
“Takmau la buat ni, takut riak pulak”
“Tengok tu, menunjuk2. Riak!”

Riak dari segi bahasa maksudnya memperlihatkan, manakala dari segi istilah ialah melakukan sesuatu bukan kerana Allah. Riak ini adalah sesuatu yang bahaya, maksudnya amatlah kronik sehinggakan ia menjadi kebimbangan Rasulullah SAW, di dalam hadis yang marhumnya,

“Yang paling takuti aku atas kalian adalah syirik kecil” Para sahabat bertanya, “wahai Rasulullah, apakah syirik kecil itu?” Baginda menjawab, “Riak” (HR Ahmad).

Syirik maknanya menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.

Riak menjadi syirik kecil apabila kita menyekutukan Allah dengan makhluk-Nya, iaitu manusia lain.

Riak adalah sifat yang berlawanan dengan ikhlas. Bila ikhlas bermaksud kita melakukan sesuatu kerana Allah, maka riak bermaksud sebaliknya iaitu melakukan sesuatu bukan kerana-Nya.

Contoh perbuatan riak ialah:

1. Solat dengan begitu kusyuk sekali supaya orang yang melihat akan berasa “Wow, kusyuknya dia ni solat, mesti alim ni”
 
2. Bersedekah dengan banyak supaya orang kata “Wow, pemurahnya dia!”
 
3. Mengaji dengan suara merdu dan tajwid yang betul supaya orang kata “Wow, hebatnya dia mengaji!”

Amat sukar nak ikhlas kan?

Namun, terdapat beberapa perbuatan yang kita tak sedar, ia adalah riak sebenarnya. Contohnya

1. Kita tidak mahu menderma di depan orang kerana TAKUT ORANG KATA kita nak menunjuk2.
 
2. Kita sering solat sunat (dhuha misalnya) tapi satu hari kawan kita datang dan kita tinggalkan solat sebab TAKUT KAWAN KATA kita alim sangat.
 
3. Kita nak cerita kebaikan kita tapi ayatnya “AKU BUKAN NAK RIAK” supaya ORANG yang dengar INGAT yang kita ni memang baik.

Perbuatan di atas tu, boleh jadi tidak riak, bila kita ikhlas. Ikhlas adalah bila…
 
1. Kita tidak mahu menderma di depan orang kerana TAKUT ALLAH MARAH bila kita merasa ujub bila derma lebih dari orang lain.
 
2. Kita sering solat sunat (shuha misalnya) tapi satu hari kawan kita datang dan kita tinggalkan solat sebab ALLAH KATA wajib muliakan tetamu, solat dhuha tu sunat je.
 
3. Kita cerita je lah dengan niat semoga Allah memberi hidayah kepada kita dan yang mendengarnya. Baik ke buruk semua pembalasan dari Allah.

Riak ni sangat tersembunyi. Sebab ia kan satu spesis dengan ikhlas, cuma berlainan arah. Ikhlas adalah perbuatan yang sukar untuk dilihat dengan mata kasar, sukar untuk dikesan. Begitu juga dengan riak. Kerana ia melibatkan hati. Kita mana boleh nak tahu hati sesiapa, sedangkan Nabi pun tak tahu. Dalam hati sendiri pun sukar nak dikesan “Aku ni ikhlas ke riak?”

Riak juga boleh jadi bila kita melakukan ibadat kerana sesuatu, contohnya kerana nak lulus periksa, maka solatlah kita awal waktu, siap solat sunat, solat hajat, puasa bagai. Sekali periksa tak berapa nak lulus, terus bungkus semua tu. Siap marah-marah Tuhan lagi “Aku solat hajat semua pun Kau tak beri lulus? Ini tidak adil! Malas solat lagi!”. Astagfirullah al'azim.. jangan macam tu..

Ataupun,periksa dah lulus, so buat apa nak lakukan semua tu lagi kan? Salah ni dik, amal ibadah kita kena ikhlas, bukan sebab nakkan sesuatu. Memanglah kita kena ada extra effort kalau mahu sesuatu, tapi dia kena ada follow up. Kalau tak dapat, usaha lagi, atau bertaubat, mungkin kafarah dosa. Kalau dapat, bersyukur dan buat la jugak semoga nanti dapat lagi banyak.

Bagi orang kebanyakan seperti saya, riak ni kadangkala disalah faham dengan ujub. Maksud ujub ialah merasakan dirinya lebih dari orang lain. Lebih alim, lebih kaya, lebih pandai, lebih segala-mala la. Dia adik beradik dengan riak, tapi ujub tak semestinya riak, dan riak tak semestinya ujub. Tapi biasanya kalau dah ujub tu mestilah ada riak jugak. Kalau rasa diri alim, mesti la nak tunjuk kealiman kan. Orang mesti pandang aku… paling kuat ibadat, paling pandai mengaji, paling berilmu….

Satu lagi sifat yang ada kaitan dengan riak ialah sum’ah. Sum’ah ialah memperkatakan tentang amal baiknya. Berbeza dengan riak yang meperlihatkan, sum’ah ialah memperdengarkan.

Takbur pula ialah membesar-besarkan diri. Dia jelah yang hebat. Dia jelah yang best. Dia jelah yang ada blog. Eh?

Apa-apa pun semua sifat-sifat di atas mestilah diperangi, terutama sifat riak, kerana ia adalah sesuatu yang serious. Di akhirat kelak, Allah tidak sudi memandang ibadah mereka yang ada riak, sebaliknya disuruh minta pahala daripada orang-orang yang diriakkan tu. Alangkah ruginya kan? Susah payah solat, sekali Allah tak sudi terima, disebabkan kita solat tu sebab nak suruh orang tengok kita macam bagus.

Susah nak buat kan? Ye lah bukannya kita nampak Allah, dan Dia tu takde nak bercakap2 dengan kita secara direct. Kalau manusia ni, kejap je dapat pujian “Wah baiknya budak ni!”, “Dia ni alim ni” dan kita pun tersenyum puas.

Riak adalah sejenis penyakit. Jadi adalah ubatnya. Apakah ubat riak?

1) Melakukan sesuatu amal kebaikan kerana suruhan Allah. Bukan kerana pahala, atau pembalasan, atau nak periksa, atau pujian orang atau apa2. Dah Tuhan suruh tu buat aje lah.
 
2) Selalu muhasabah diri.. adakah aku ikhlas? Atau nak tunjuk kat orang je?
 
3)Selalu berdoa semoga Allah tetapkan iman dan jauhi dari sifat2 riak.
 
4)Banyakkan ibadah sunat yang jauh dari pandangan orang.
 
5) Sentiasa bertaubat, beristighfar dan menangisi dosa2.
 
6)Tanamkan rasa cinta kepada Allah dan takut kepada azab seksa-Nya.

Hmm.. berhati2 lah bila kita nak cakap “Aku bukan nak riak” atau “Aku takut riak” adakah kita cakap tu atas dasar riak (sebab nak orang nampak kita baik), atau memang benar2 ikhlas kerana Allah Taala?


Sumber : Facebook




Sunday, September 18, 2011

Menulis kerana Allah

~gambar dari Mr.Google~


Menulis itu merupakan satu cara untuk menyampaikan ilmu yang kita ada kepada orang lain..
Ilmu yang kita miliki itu adalah milik ALLAH.
Ilmu itu juga merupakan hidayah ALLAH.
Maka, perbetulkanlah niat untuk menulis.
Biarlah menulis untuk ALLAH.
Menulis untuk mendapat keredhaan ALLAH.
Menulis untuk menyebarkan agama ALLAH.
Menulislah kerana ALLAH.


Friday, September 16, 2011

Niat menghalalkan cara?

Kenapa orang islam yang menggunakan kekerasan dan mengangkat senjata dilabelkan sebagai pengganas, sedangkan orang-orang bukan islam yang turut menggunakan kekerasan tidak pula dilabelkan sebagai pengganas.


Orang islam menggunakan kekerasan, dan mengangkat senjata untuk mempertahankan diri, agama dan keluarga mereka. Tapi kenapa mereka dilabelkan sebagai pengganas.

Sedangkan orang bukan islam menggunakan kekerasan untuk menjaga keperluan ekonomi mereka. Mereka mengangkat senjata mereka untuk menindas golongan yang lemah, menawan dunia dan juga membuktikan mereka berkuasa. Tetapi, tidak pula mereka dilabel sebagai pengganas. Mengapa? Mengapa keadaan ini berlaku?

Seperti yang diketahui umum, pada tahun 2008-2009, Israel telah melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran terhadap Gaza. Serangan udara dan darat yang dilancarkan telah mengorbankan ribuan nyawa, memusnahkan infrastruktur, bangunan, sekolah dan kediaman. Itu belum dikira lagi bilangan orang-orang awam yang terkorban semasa serangan itu dilancarkan. Belum juga dikira golongan kanak-kanak, wanita dan orang tua yang trauma kesan daripada kekejaman yahudi zionis itu.

Jumlah orang awam yang terkorban di Afghanistan, Iraq dan juga di Selatan Thailand melebihi jumlah orang awam yang terkorban di Bali dan juga peristiwa 11 september tu. (Boleh rujuk di sini)

Memanglah mana-mana agama tidak menghalalkan keganasan apatah lagi apabila ia melibatkan nyawa orang awam yang tidak bersalah. Tapi, pilihan apa yang golongan islam ini ada. Mereka terus ditekan dan didesak tanpa ada pihak yang sanggup memberi bantuan kepada mereka.

Sekurang-kurangnya, secara tidak langsung usaha-usaha mereka yang dianggap ekstrem ini akan diberi perhatian oleh pihak yang berkenaan. Pihak-pihak tersebut juga akan terus berhati-hati dan berwaspada dengan aktivit-aktiviti puak yang ekstreme ini. Tidak nampak ke, sebenarnya golongan-golongan ini takut dengan kebangkitan umat islam? Kejadian-kejadian ini turut memberi peringatan kepada mereka, bahawa golongan yang mereka label sebagai pengganas ini boleh lakukan apa sahaja untuk mempertahankan agama dan hak mereka.

Mereka yang dilabel sebagai pengganas ini, sebenarnya berjuang untuk mempertahankan agama Allah. Mereka berjuang semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.

Apa kata kamu? Tepuk dada, tanyalah Iman.


Selingan : Perbaiki niat kita, biarlah semata-mata kerana ALLAH.





Sunday, January 23, 2011

Pohon Epal itu.

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pohon epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pohon epal ini setiap hari.Dia memanjat pohon tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia beristirahat lalu terlelap di perdu pohon epal tersebut. Anak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pohon epal itu juga menyukai anak tersebut.
Masa berlalu...
Anak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pohon epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pohon epal tersebut dengan wajah yang sedih.

"Marilah bermain-main di sekitarku," ajak pohon epal itu.

"Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab remaja itu."

"Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah remaja itu dengan nada yang sedih.

Lalu pohon epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Juallah untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan"

Remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal dipohon itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pohon epal itu merasa sedih.

Masa berlalu...

Suatu hari, remaja itu kembali. Dia semakin dewasa.Pohon epal itu merasa gembira.

"Marilah bermain-main di sekitarku," ajak pohon epal itu.

"Aku tiada waktu untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" Tanya anak itu."

"Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan binalah rumah daripadanya." Pohon epal itu memberikan cadangan.

Lalu, remaja yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pohon epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pohon epal itu pun turut gembira tetapi kemudiannya merasa sedih karena remaja itu tidak kembali lagi selepas itu.

Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pohon epal itu. Dia sebenarnya adalah anak lelaki yang pernah bermain-main dengan pohon epal itu. Dia telah matang dan dewasa.

"Marilah bermain-main di sekitarku," ajak pohon epal itu.

"Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi anak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai boat. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu."

"Aku tidak mempunyai boat untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pohon ini untuk dijadikan boat. Kau akan dapat belayar dengan gembira," kata pohon epal itu.

Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pohon epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.

Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang menuju pohon epal itu. Dia adalah anak lelaki yang pernah bermain di sekitar pohon epal itu.

"Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi untuk diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat boat. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati..." kata pohon epal itu dengan nada pilu.


"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pohonmu kerana aku tidak berupaya untuk belayar lagi, aku merasa lelah dan ingin istirahat," jawab lelaki tua itu."

Jika begitu, istirahatlah di perduku," kata pohon epal itu.

Lalu lelaki tua itu duduk beristirahat di perdu pohon epal itu dan beristirahat. Mereka berdua menangis kegembiraan.

Sebenarnya, pohon epal yang dimaksudkan di dalam cerita itu adalah kedua-dua ibu bapa kita. Bila kita masih muda, kita suka bermain dengan mereka. Ketika kita meningkat remaja, kita perlukan bantuan mereka untuk meneruskan hidup. Kita tinggalkan mereka, dan hanya kembali meminta pertolongan apabila kita di dalam kesusahan. Namun begitu, mereka tetap menolong kita dan melakukan apa saja asalkan kita bahagia dan gembira dalam hidup.

Anda mungkin terfikir bahawa anak lelaki itu bersikap kejam terhadap pohon epal itu, tetapi fikirkanlah, itu hakikatnya bagaimana kebanyakan anak-anak masa kini melayan ibu bapa mereka. Hargailah jasa ibu bapa kepada kita. Jangan hanya kita menghargai mereka semasa menyambut hari ibu dan hari bapa setiap tahun.. Hargai mereka setiap masa, dan ucapkanlah sayang kepada mereka selagi mereka masih hidup..


Selingan : cerita ini saya copy dari fb sebagai perkongsian dan juga ingatan untuk semua..^_^